"DI SAAT HATI DI BELENGGU DUKA MUNGKIN TIKA ITU DOSA BERTAKHTA"...

Kelebihan Ramadan

Sabtu, 24 Julai 2010

* Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.




* Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.

* Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :

(Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :



(Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)

* Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!

* Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.

* Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).

* Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)

* Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.

* Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).

* Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)

* Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)

* Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
o - Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya : (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam syurga)
o - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
o - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
o - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)

o - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)

o - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)

o Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)

* Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)

*
o Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
o Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
o Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
o Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
o Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
+ Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
+ Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
*
o "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)
o "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)



*
o "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
*
o "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari (Al Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)

* Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)

* Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.

* Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)

* Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.

* Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
Sepenuhnya

10 Wasiat Assyahid Imam Hassan AL-BANNA


• Dirikanlah solat ketika mana kamu mendengar seruan azan walau apajua
keadaan sekalipun.

• Bacalah Al-Quran dan pelajarilah ia atau mendengar atau berzikir dan
jangan engkau jadikan sedikit dari waktu ini dari perkara yang tidak berfaedah.

• Berusahalah untuk berbahasa arab secara fasih kerana ia merupakan salah satu dari syiar islam.

• Janganlah engkau banyak berbahas dan bertengkar kerna ia tidak mendatangkan kebaikan

• Janganlah engkau banyak ketawa

• Jangan bersenda-senda kerana perjuangan itu tidak akan diketahui kecuali dengan kesungguhan

• Jangan engkau meninggikan suara melebihi yang dikehendaki kerana ia boleh menyebabkan orang lain terluka.

• Jauhilah mengumpat tentang orang lain bercakaplah perkara yang baik

• Berkenal-kenallah sesama kamu kerana asas dakwah itu adalah kasih sayang

• Kewajipan itu melebihi waktu yang ada, maka bantulah mereka yang lain untuk menyatakan manfaat pada waktu . Sepenuhnya

KEPUTUSAN PILIHANRAYA PMRAM 2010

Sabtu, 10 April 2010

Keputusan telah diumumkan oleh Pengarah SPR. Berikut ialah senarai calon dan bilangan undian mereka :

1. Ustaz Muhammad Yusof Abd Kadir : 861 (menang)

2. Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar : 848 (menang)

3. Ustaz Abdul Aziz bin Ali : 826 (menang)


4. Ustaz Firdauz bin Noh : 830 (menang)


5. Ustaz Syeikh Mujahid bin Syeikh Nawawi : 860 (menang)


6. Ustaz Mohd Faizuddin bin Ghazali : 877 (menang)

7. Ustaz Mohammad al Hidayat bin Khalid : 861 (menang)

8. Ustaz Solehuddin bin Mohd Safien : 852 (menang)

9. Ustaz Ahmad Huzaifah Fauzi : 821 (menang)

10. Ustaz Hanif bin Haron : 158
11. Ustaz Aminuddin bin Alias : 226
12.Ustaz Muaz bin Syukri : 173


Jumlah ahli PMRAM yang layak mengundi = 1445 orang

Jumlah ahli yang keluar mengundi = 920 orang (63.7%)

8 Undi Rosak

sumber : PENGARAH SURUHANJAYA PILIHANRAYA PMRAM 2010






Sepenuhnya

Mukaddimah Cinta..

Isnin, 8 Februari 2010

Demi sang pencipta yang memberi anugerah cinta dan sayang..
Diluhurkan segala ungkaian rindu di pelusuk jiwa ..
Tempat lahir cinta dan sayang, rindu dan pilu,kasih dan kecewa..
Makam diraja yg bersemadi syurga cinta di hari tiada...
Pada cinta hidup bersembah..
Pada cinta hidup berminta..
Menyusur lalu jalan pencipta
Jalan yang buat untuk mereka yang diberi
namun menafi...
Jalan mereka yg merasa tapi mendusta..
Duhai terimalah erti cinta dari Sang pencipta

10.08 am
PanglimaKahfi
8 feb 2010




Sepenuhnya

Untuk Insan Bernama Perempuan - Kewajipan menutup aurat

Selasa, 19 Januari 2010




Disediakan oleh: Siti Sumayyah Sha’arani




“ Katakanlah, hai Nabi, kepada isteri-isterimu, anak-anak gadismu dan isteri-isteri orang-orang beriman, “Hendaklah mereka menutupkan baju kurungnya ke badan mereka (waktu keluar rumah)”. Yang demikian lebih memudahkan untuk mengenal mereka dan mereka tidak akan diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-Ahzab : 59)

Allah telah memerintahkan kepada Nabi s.a.w agar menyuruh umatnya menutup aurat. . Sebagaimana firman Allah, para lelaki dan wanita beriman hendaklah membatasi pandangan mereka kepada lawan sejenisnya. Mereka juga hendaklah menahan pandangan yang menimbulkan syahwat. Dan caranya adalah dengan menutup aurat.

Islam menyuruh umatnya melakukan sesuatu perkara bukan tanpa sebab yang jelas. Semuanya mempunyai penjelasan. Seperti ayat Al-Quran di atas, Allah memerintahkan agar Rasulullah menyuruh isteri-isterinya dan anak-anak gadisnya untuk berpakaian sopan dan rapi agar mereka tidak diganggu orang. Ini kerana, yang biasa dan selalu diganggu di jalanan ialah wanita-wanita dan para gadis yang berpakaian minima, tidak sopan dan meransang ghairah orang yang memandangnya. Menutup aurat boleh mengelakkan mereka dari diganggu.

Apakah yang dimaksudkan dengan aurat? Aurat wanita ialah menutup seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya kepada lelaki ajnabi (bukan muhrim). Ini bermaksud, seluruh tubuh kecuali muka dan dua telapak tangannya wajib ditutup. Tiada pengecualian dalam hal ini. Setiap wanita beriman hendaklah patuh kepada perintah Allah ini untuk menjaga kemuliaan wanita.

Di antara batasan-batasan aurat yang perlu dijaga oleh wanita seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka membatasi pandangannya dan memelihara kemaluannya. Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung sampai ke dadanya. Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suaminya, bapaknya, bapak suaminya, anak-anaknya, anak-anak-anak suaminya, saudara-saudaranya, anak-anak saudaranya yang laki-laki, anak-anak saudaranya yang perempuan, wanita Islam, budak-budak yang mereka miliki, pelayan-pelayan pria yang tidak berkeinginan kepada wanita (sida-sida), anak-anak yang belum melihat aurat wanita. Dan janganlah mereka merentakkan kaki mereka agar diketahui orang perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan taubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

(Surah An-Nur : 31)

Seperti maksud firman di atas, Allah menyuruh wanita-wanita beriman agar menjaga auratnya termasuklah; pertama: kaki: “Dan janganlah mereka merentakkan kaki mereka agar diketahui orang perhiasan yang mereka sembunyikan”. Maksudnya di sini, para wanita dilarang memakai perhiasan di kaki yang mempunyai bunyi-bunyian seperti loceng, yang mana bila dihentakan kainya, berbunyi loceng tersebut. Kadangkala bunyi loceng di kaki boleh mendebarkan lelaki. Selain itu, kaki juga hendalah ditutup dengan stoking.

Yang kedua, sebagaimana firman Allah: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung sampai ke dadanya”, para wanita hendaklah menutup kepala dan dada mereka dengan sempurna kerana disitu terletak fitnah yang sangat besar. Ini bermakna, seluruh kepala hendaklah ditutup dan dilabuhkan hingga ke dada sepenuhnya. Nabi s.a.w juga ada bersabda : Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan rambutnya untuk mengulas rambut wanita lain, wanita yang mengulas rambutnya dengan rambut wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya dengan *tusukan dan wanita yang minta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan”. (Sahih Bukhari). Untuk menutup bahagian ini pula hendaklah dengan sempurna, dan bukan bahagian yang nipis.

Seterusnya, mata. “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka membatasi pandangannya…” .Wanita-wanita juga hendaklah menjaga pandangan mata mereka dari memandang aurat lelaki dan juga benda-benda yang boleh mendatangkan fitnah. Mereka hendaklah sentiasa menundukkan pandangan mereka.

Terakhir, di dalam ayat ini Allah telah menyuruh wanita-wanita beriman agar menjaga kehormatan mereka. “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka membatasi pandangannya dan memelihara kemaluannya”. Kehormatan di sini bermaksud mereka hendaklah mempunyai perasaan malu, kerana malu itu sebahagian daripada iman. Mereka haruslah merasa malu untuk mendedahkan aurat mereka, seterusnya menjaga perlakuan dan mengelakkan fitnah dari mata-mata yang memandang.

Selain itu, di antara batasan-batasan aurat lain yang perlu dijaga oleh wanita termasuklah suara. Firman Allah: “ Hai isteri-isteri Nabi! Kamu tidaklah seperti wanita lain. Jika kamu bertaqwa, maka janganlah perkataanmu merayu sehinggamenimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (untuk berbuat jahat). Ucapkanlah perkatan yang baik (makruf)”. (Surah Al-Ahzab:32). Suara mereka tidak boleh terlalu lunak dan mencairkan hati-hati yang berniat jahat. Sebaiknya bercakap dengan suara yang perlahan, tetapi jelas dan tenang seterusnya menyenangkan hati orang yang mendengarnya.

Islam juga telah menggariskan dengan jelas garis berpakaian yang sesuai dan mengikut syarak. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w mengutuk laki-laki yang berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti laki-laki. (Sahih Bukhari). Seorang wanita hendaklah berpakaian seperti seorang wanita selayaknya dan tidak mengikut pakaian kaum yang lain. Begitulah, setiap suruhan oleh agama Islam mendatangkan kebaikan untuk umatnya. Dengan menjaga aurat, kita dapat menjaga kehormatan diri dan memelihara daripada fitnah. Dengan memutup aurat, kita dapat mengelak siksaan api neraka yang maha dahsyat.

*tusukan di dalam hadith berkenaan bermaksud tattoo.

KEDAH COMMUNICATION & EVENTS SDN. BHD. (KCE)

Sumber : http://www.kedahsejahtera.com.my




Sepenuhnya